Showing posts with label Nur Islam. Show all posts
Showing posts with label Nur Islam. Show all posts

Tuesday, June 11, 2013

HIJAB & KEIKHLASAN...

Alhamdulilllah.. 

sudah sebulan sy memakai hijab..memang kalau difikirkan semula memang tak percaya saya boleh terbuka hati utk berhijab, walaupun sebelum ini sy memang tahu yg berhijab adalah sesuatu yg perlu sy lakukan..tetapi bagi diri sy adalah amat sukar utk melakukannya dgn keikhlasan & sy pula tidaklah mahu sekadar mengikut-ngikut orang atau kerana terpaksa..jadi sy berdoa kepada Allah utk membuka hati sy utk berhijab..

dan Alhamdulillah kini sy merasa keikhlasan berhijab itu dgn sendirinya..

syukur Allah memberi sy peluang utk berhijrah.. 

Saturday, May 18, 2013

REJAB DAN HIJAB...

11-May-2013 
(1 Rejab 1434H)


Alhamdulillah, sudah masuk bulan Rejab..selepas itu Sya'aban & kemudian Ramadhan..semoga sy ditemukan kembali dgn Ramadhan dlm keadaan sihat & dapat melaksanakan ibadah puasa, qiam & yg seumpamanya dgn sempurna & diterima oleh Allah..


dan Rejab tahun ini sy telah meneruskan hasrat utk terus berhijab setelah 2 tahun sy menyimpan keinginan..

Alhamdulillah, sudah seminggu sy mengenakan hijab & Allah telah permudahkan penghijrahan sy ini, sedikit pun tidak terdetik di dalam hati rasa terpaksa..semoga Rejab tahun ini menjadi pemangkin perubahan sy utk menjadi seorg muslimah, In Shaa Allah..




Friday, January 11, 2013

JGN JADIKAN ANAK SEBAGAI BEBAN...




Renungan bersama...

1) Jangan pukul anak dari lutut keatas.

2) Jangan gunakan tangan/anggota tubuh kita utk memukul anak dengan tangan dan jangan sesekali menampar anak pakai tangan kita. nanti anak jadi bertambah degil dan nakal dan tak boleh control.

3) Rotan/pukul anak di telapak kakinya . Secara saintifiknya ada kaitan dengan refleksologi dan merangsang ke bahagian otak.

...Sabda Rasulullah s.a.w.

“Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)”


4) Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. (Dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah digalakkan).

5) Berikan anak anda pelukkan setiap hari (Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk).

6) Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang (Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran).

7) Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan (Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya).

8) Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah berbuat silap.

9) Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga (Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali).

10) Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah tuan/puan mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.

11) Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap).

12) Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya.

13) Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.

14) Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya. Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. (Anak2 yg dtg daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).

15) Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali.

16) Luangkanlah masa bersama anak anda diluar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri.

17) Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka.

18) Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.

19) Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam.

20) Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa.

21) Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.

22) Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri.


“Anak- Anak ibarat kain putih. Ibu bapa lah yang mencorakkannya menjadi yahudi, nasrani atau majusi”


Tuesday, January 8, 2013

MENCINTAI ORG YG KITA NIKAHI ADALAH SUATU KEWAJIPAN...

menikahi org yg kita cintai adalah suatu kemungkinan..
mencintai org yg kita nikahi adalah suatu kewajipan..


10 PETUA MENJADI SUAMI MITHALI

1. Isteri adalah manusia

Mereka adalah kaum wanita yang penuh dengan perasaan emosi. Apabila mereka reda dan bahagia dengan setiap perkara yang mereka lakukan, maka perasaan mereka tenang dan gembira. Namun, jika mereka tertekan dengan apa yang berlaku, emosi mereka mulai berkecamuk dan sering ingin mencari jalan keluar daripada masalah yang mereka hadapi.

2. Dengar pendapat isteri

Suami isteri perlu sering bertukar-tukar pendapat tidak kira taraf pendidikan atau profesionalisme mereka. Isu semasa boleh dijadikan sebagai 'ice-breaking'. Kemudian, berbincanglah mengenai hal rumah tangga dan masa depan. Suami boleh bertanyakan pandangan isteri mengenai masalah kerjanya. Malah, isteri tentu berminat hendak mengetahui 'gosip' pejabat selepas seharian berhempas pulas di rumah. Dari situ isteri dapat mengenali karektor rakan pejabat suami secara tidak langsung.

3. Beri pujian kepada isteri
Jangan lokek memberi pujian kepada isteri dengan mengatakan dia cantik dan kemas. Pujian ini penting untuk menaikkan semangat isteri tatkala semangatnya hilang dan luntur. Memanglah wajar isteri penat jika dia terpaksa bangun pagi seawal lima pagi bagi memastikan semuanya beres demi kemudahan suami dan anak-anak. Kemudian tidur pula paling lewat kerana sibuk menyediakan persiapan untuk esok hari.

4. Menganggap pasangan seperti diri sendiri
Menganggap pasangan sebagai diri sendiri yang harus dihargai, dibelai, dihormati, disayangi dan dikasihi. Semua orang suka dibelai dan dikasihi lebih-lebih lagi pasangan suami dan isteri. Mengapa selepas berkahwin cinta tidak sehangat sewaktu bercinta. Inilah yang sering diabaikan oleh kebanyakan pasangan. Sedangkan pasangan anda adalah cermin diri anda sendiri. Ke mana juga anda pergi potret wajahnya perlu anda bawa bersama. Jika ini diamalkan selalu, rumah tangga akan menjadi bahagia.

5. Ingat tarikh penting
Manusia memang suka dihargai dan dikejutkan dengan pemberian hadiah oleh sesiapa saja apatah lagi daripada orang yang disayangi. Jika suami seorang yang prihatin dan menyayangi isterinya, apalah salahnya jika dia memberikan hadiah kepada isterinya. Hadiah tidak perlu terlalu mahal. Cukup sekadar seutas jam atau sehelai tudung sempena meraikan hari lahir. Jika 'budget' anda tidak mencukupi, sekuntum bunga dan sekeping kad sudah memadai. Hati isteri akan tersentuh dengan pemberian hadiah dan lebih terharu jika anda sempat menulis sepatah dua kata penghargaan di dalamnya seperti "Terima kasih di atas segala pengorbanan sayang selama ini".

6. Penuhi hajat isteri
Bukan semua hajat isteri boleh dipenuhi oleh suami. Jika isteri berhajatkan sebuah mesin basuh atau mesin jahit, suami mungkin terpaksa berfikir dua atau tiga kali sebelum memenuhinya. Bagaimanapun, jika anda tidak berjaya memenuhi hajat isteri untuk masa yang terdekat, simpanlah hajat isteri anda itu dan tunaikanlah apabila anda berpeluang kelak. Bukankah pemberian itu melambangkan anda suami yang amat menghargai pengorbanan isteri?

7. Bantu ringankan tugas isteri
Suami perlu turun padang membantu isteri, jika setiap hari isteri anda bertungkus lumus memasak, membasuh dan mengemas rumah. Jika anda tidak mahir memasak makanan yang berat seperti lauk pauk cukup sekadar menggoreng ikan atau telur. Cuba perhatikan isteri anda yang sedang menikmati makanan yang anda masak. Tentu dia berasa gembira dan tersenyum.

8. Isteri bukan pembantu rumah
Kebanyakan suami menganggap kerja rumah adalah tanggungjawab isteri 100 peratus. Walhal dalam Islam sendiri tidak ada hukum yang mengatakan bahawa isteri wajib melakukan kerja rumah. Cuma, ajaran Islam mengatakan wanita berkahwin yang taat dengan suami dan Tuhan, menjaga harta dan maruah suami dengan sebaik akan dijamin masuk syurga. Itu saja. Atas jaminan inilah ramai wanita tidak berkira dengan kerja rumah yang mereka lakukan selama ini.

9. Bawa isteri berehat
Kebanyakan suami menganggap berjauhan daripada isteri adalah suatu kebebasan baginya kerana isteri tidak dapat menghidu apakah yang dilakukan di belakangnya. Kini, anda cuba terbalikkan situasi ini. Sentiasa bawa isteri berjalan-jalan dan berehat di tempat peranginan yang menarik. Walaupun ia nampak remeh, setiap isteri pasti akan menghargai saat manis itu.

10. Ciuman khas untuk isteri
Cuba anda tanya diri sendiri bilakah kali terakhir anda mencium dahi isteri anda ketika dia berehat selepas begitu penat bekerja. Tahukah anda ciuman anda di dahi atau kucupan di bibirnya dapat menghilangkan segala kepenatan dan tekanan pada dirinya hari itu. Begitulah kuatnya kuasa ciuman suami kepada isteri



sumber: Rahsia Perkahwinan


Wednesday, December 19, 2012

ALLAHUAKBAR!!...



ALLAHUAKBAR!!


Peristiwa yg berlaku antara Israel & Palestin telah pun Allah nyatakan dgn jelas dalam Al-Quran..

Terjemahan di dalam bahasa Melayu bermaksud:


[Al-Isra':4] Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) DUA KALI, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.


[Al-Isra':5] Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang PERTAMA dari dua itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah** dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku....(**Kisah pembebasan BaitulMaqdis oleh pahlawan Islam agung Salehuddin Al-Ayubi)


[Al-Isra':6] Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.


[Al-Isra':7] Jika kamu berbuat kebaikan, (maka) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) KALI KEDUA, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMuqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada KALI YANG PERTAMA; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.


- Ihsan facebook -

Monday, November 19, 2012

BERSEDIALAH WAHAI DIRI...

mendepani minggu2 yg menguji kesabaran..bersedialah wahai diri!!


Dunia-Mu Tuhan..penuh dgn segala mcm hiasan
hiasan yg mempunyai pelbagai rupa & warnanya
hiasan itu adalah satu nikmat yg terlalu berharga
nikmat yg terkandung segala kisah suka & duka
sesuatu yg indah lagi mengembirakan sentiasa didambakan
sesuatu yg sukar lagi menyeksakan, tiada ingin sekali pun sekadar angan2 kosong..

namun keduanya tetap akan menyapamu wahai manusia ciptaan Yang Maha Agung
biarpun kamu menolak mahupun menyenangi
ia tetap menjengahkan dirinya menuntut KESABARAN yg tiada terhingga
tiada sebarang harta dunia yg mampu mencapai mencapai penyelesaian melainkan KESABARAN
seluruh akal bisa memahami maksud SABAR dari bahasanya
namun mampukan hati mengerti SABAR pada lakunya & tertampungkah jasad bertaut roh menjunjung SABAR yg sebenarnya
Subhanallah Maha Luas ilmu ALLAH SWT..





Ya Allah, jadikanlah aku penyabar & bersabar dgn setiap dugaan-Mu..

Sunday, May 27, 2012

MENGAPA HAWA TERCIPTA SAAT ADAM TERTIDUR...


 

Dikatakan bahawa seorang laki-laki jika kesakitan, maka dia akan membenci. Sebaliknya wanita saat dia kesakitan, maka semakin bertambah sayang dan cintanya.

Seandainya Hawa diciptakan dari Adam 'alaihissalam saat Adam terjaga, pastilah Adam akan merasakan sakit keluarnya Hawa dari sulbinya, hingga dia akan membenci Hawa. Akan tetapi Hawa diciptakan dari Adam saat dia tertidur, agar Adam tidak merasakan sakit dan tidak membenci Hawa. Sementara seorang wanit akan melahirkan dalam keadaan terjaga, dia melihat kematian ada dihadapannya, akan tetapi semakin bertambah sayang dan cintanya kepada anak yang dilahirkannya, bahkan dia akan menebusnya dengan kehidupannya.

Sesungguhnya Allah menciptakan Hawa dari tulang rusuk bengkok yang tugasnya adalah melindungi Qalbu (jantung, hati nurani).

Oleh kerana itu, tugas Hawa adalah menjaga qalbu. Oleh kerana itu Hawa diciptakan dari tempat yang nantinya akan berinteraksi dengannya. Sementara Adam diciptakan dari tanah, kerana dia akan berinteraksi dengan tanah, dia akan menjadi petani, tukang batu, tukang besi, dah tukang kayu.

Adapun seorang wanita, maka akan berinteraksi dengan perasaan, dengan hati. Dia akan menjadi seorang ibu yang penuh kasih, seorang saudai yang penyayang, seorang putri yang manja, dan seorang isteri yang penurut.

Kedoktoran modern telah menetapkan bahawa seandainya bukan kerana tulang rusuk tersebut pastilah pukulan yang paling ringan yang diberikan kepada jantung akan menyebabkannya rosak dan menuju kepada kematian. Maka Allah menciptakan tulang rusuk tersebut untuk menjaga qalbu. Kemudian Dia menjadikannya bengkok untuk melindungi qalbu dari sisi yang kedua. Oleh kerana itu, wajib bagi Hawa untuk berbangga kerana dia diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok!!.

Dan wajib bagi Adam untuk tidak berusaha meluruskan tulang yang bengkok tersebut, sebagaimana yang dikabarkan oleh Nabi SAW, jika seorang laki-laki berusaha meluruskan yang bengkok tersebut dengan serta merta, maka dia akan mematahkannya.

Yang dimaksud dengan kebengkokan tersebut adalah perassan yang ada pada diri seorang wanita yang mengalahkan perasaan seorang laki-laki.

Maka wahai Adam, janganlah merendahkan perasaan Hawa, dia memang diciptakan seperti itu.


source: www.ar-rifke.com
 

Monday, January 16, 2012

JAGA ANAK TANGGUNGJAWAB IBU BAPA...

found this old article..not to blame anyone out there, tapi tak salahkan if kita baca & sharing for our own good rite..let's read it..

*************************************************************************************

JAGA ANAK TANGGUNGJAWAB IBU BAPA
October 6, 2009 - Saadiah binti Bahari
oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@bharian.com.my

Tidak wajar serah si kecil untuk dijaga nenek di kampung melainkan punya alasan kukuh.

ALASANNYA cukup mudah, tidak ada pengasuh dan ada segelintir memberi alasan lebih yakin bayi atau anak kecil mereka dijaga ibu bapa sendiri menjadi penyebab mengapa ramai pasangan suami isteri mengambil keputusan melepaskan anak untuk dijaga datuk dan nenek.

Malah, ada ibu bapa yang sanggup menghantar anak ke kampung untuk dijaga nenek datuk kerana pelbagai alasan, antaranya sukar mencari pengasuh yang boleh dipercayai.

Persolannya, ADAKAH IA TINDAKAN YANG WAJAR?
Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut berkata, sebelum membuat keputusan untuk menghantar anak kepada ibu bapa, seseorang itu perlu ada niat yang ikhlas kerana anak adalah tanggungjawab meraka, bukan orang lain.

"Alasan mengapa hantar anak ke kampung perlu munasabah, misalnya kerana kematian suami atau isteri, sakit atau ditimpa kecelakaan, bercerai dan sebagainya. Tapi jangan pula menjadikan alasan tidak mampu kerana Islam ada menyatakan seseorang itu perlu mempunyai kewangan yang cukup sebelum mendirikan rumahtangga," katanya.

"Silapnya di sini adalah sikap suami isteri itu sendiri yang ingin bergaya lebih sedangkan diri tidak mampu dan jalan mudah adalah dengan menghantar anak untuk dibela datuk nenek di kampung," katanya.

Beliau berkata, setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga perlu memahami bahawa anak adalah pengikat kasih hubungan suami isteri dan aset modal insan yang terbaik bagi kedua-dua ibu bapa.

"Anak juga harta berbentuk duniawi dan ukhrawi yang sewajarnya dipelihara, dijaga, dihargai, ditarbiah dan dididik dengan sebaik-baiknya. Anak-anak pada peringkat umur yang masih kecil juga sedang melalui proses perkembangan dan pembangunan fizikal serta spiritual, minda, kerohanian, emosi dan keinginan syahwat,".

"Justeru, menjadi tanggungjawab penjaga untuk mendidik anak dengan sebaik-baiknya menggunakan modul daripada Al-Quran, Nabi dan ulama, ilmuwan, pakar motivasi, tokoh ibu mithali dan sebagainya mengenai ilmu agama, akidah, solat serta ilmu dunia," katanya.

Sehubungan itu, kata Noh, meletakkan anak kecil untuk dijaga datuk dan nenek tidak ada salahnya jika kedua orang tua itu diyakini mampu mendidik, mengasuh selain mempunyai pengalaman berserta kudrat dan ingatan yang masih kuat.

"Kelebihan untuk cucu jika datuk dan neneknya bekas pendidik atau orang berilmu, tapi penganiayaan juga kepada anak kecil itu jika diletakkan di bawah asuhan orang tua yang tiada pendidikan kerana ia bole membantutkan perkembangan minda kanak-kanak itu untuk menjadi seorang insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang suatu hari kelak,".

"Namun saya perhatikan, datuk dan nenek lebih ramai yang lembut hati dengan cucu. Jadi ciri pemimpin yang tegar dan berani tidak ada sehingga boleh menyebabkan cucu jadi manja dan degil," katanya.

Kata Noh lagi, tidak ada hukum mutlak boleh dijatuhkan terhadap sesiapa yang menghantar anak untuk dijaga kedua-dua orang tua.

Tetapi Noh mengingatkan, jika kedua ibu bapa yang menjaga cucu itu uzur, tidak berkemampuan dari segi kudrat dan kewangan atau sehingga menzalimi tanggungan lain di dalam keluarga itu, maka hukumnya haram.

Begitu juga dengan tindakan segelintir ibu bapa yang menyerahkan anak untuk dijaga datuk dan nenek bukan beragama Islam, hukumnya juga haram walau dalam keadaan apa sekalipun.

"Perlu juga diingatkan, penyerahan dan penerimaan anak untuk diasuh kedua-dua datuk dan nenek perlu ada reda daripada orang tua. Jangan sehingga ada keluhan kecil keluar daripada mulut kedua mereka kerana menzalimi orang tua itu juga bole mengundang dosa,".

"Lebih malang, hidup anak itu juga tentunya sia-sia dan dalam kerugian, malah rezekinya juga tidak diberkati kerana hidup tanpa keredaan dari kedua ibu bapa," katanya.

Di dalam apa juga situasi, sama ada kerana terpaksa atau rela, anak yang soleh perlu memahami fitrah manusia itu sendiri kerana kata Noh, pada usia emas, warga tua seharusnya diperuntukkan waktu yang secukupnya untuk beramal ibadat.

"Solehkah anak itu jika waktu tua datuk dan nenek itu dibebani tugas membela cucu sedangkan mereka sepatutnya diberi peluang mengisi waktu untuk beribadah," katanya dalam nada yang tegas.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Ratu


Friday, October 28, 2011

DOA PEMBUKA 12 PINTU...

hakikatnya aku ini hanyalah makhluk-Nya yg serba lemah & kekurangan..
AL-FATIHAH..

 

Friday, October 14, 2011

SAAT BERPISAH...

Sebaik-baik penasihat ialah kematian. Namun, mana mungkin orang yang pernah mati datang kepada kita untuk menasihatkan? Mengingatkan mati, menakutkan. Manusia akan takut pada apa yang tidak diketahuinya.
 
Semuanya masih misteri. Hanya tinggal Al-Quran dan Al-Hadis untuk kita rujuk bagi mengetahui tentang kematian. Namun berapa kerat antara kita yang berbuat demikian. Cerita tentang kematian akan mematikan rasa kemanisan menikmati hidup ini. Dan akibatnya, mati terus mati dalam hidup kita!

Jika seseorang mengingati mati, akan mudah hatinya dilentur kepada makrufat dan makrifat. Jika mengingati kematian jiwa akan jeran dan bosan dengan maksiat dan sayyiat (perkara yang buruk). Jika mati itu hidup di dalam hati kita, kita akan mudah memberi dan meminta maaf. Kita akan mudah bersabar dan bertenang dengan karenah insan. Nikmat dosa akan sirna dengan mengingati mati. Azab taat akan kecil bila teringat saat kembali.

Ketika hatimu jemu dengan ketaatan, mula tergiur dengan kemaksiatan, kenang-kenangkanlah SAAT BERPISAH.

Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Kita datang tidak diminta, kita pulang tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji, tiba masanya pasti kembali!.

Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan:

“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”

Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.

Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita.
 
Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap untuk bersabar.

Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi.

Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu dengan taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.

Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:

“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”
Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh. Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza. 
Justeru, carilah apakah “kebijaksanaan” itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti. Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut, katalah pada diri, bila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu bila berdepan dengan detik itu.
Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Nikmat dunia akan kita lupakan sebaik sahaja melihat azab di akhirat. Dan azab di dunia akan kita lupakan setelah melihat nikmat di akhirat.
Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi ia satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.
Ya, kalau sanggup datang. Mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya… syurga!
Pada kita, cuma pasrah…

PASRAHTuhan,
Pada Mu aku pasrah
akur, alah dan menyerah
Seluruhnya sudah pudar
cintaku kian tercalar

Tuhan,
Senjaku semakin dekat
Di sumur dosa aku melarat
di hujung umur kupasti kembali
sedang hatiku tak suci lagi

Tuhan,
Langkahku entahkan mati
mendaki kasihMu nan tinggi
namun cintaku bukan palsu
walaupun sering terganggu

Tuhan,
kekadang terasa sayang-Mu
bersama kurnia hidayah
kekadang terasa murka-Mu
seiring patahnya mujahadah

Tuhan,
terlerai ribuan taubatku
terungkai semua janjiku
kataku sering mungkir
CintaMu sering terpinggir

Tuhan,
Aku masih setia
mengemis di jendela usia
terus mencari wajah diri
menadah keampunan Ilahi!

https://www.facebook.com/MataHatiAinulQalbi

Friday, October 7, 2011

AMALAN YG BAIK OLEH IBUBAPA SUPAYA ANAK2 DAPAT MENJAWAB SOALAN PEPERIKSAAN DGN MUDAH & TENANG...



Assalamualaikum,

Kepada pembaca yang mempunyai anak-anak yang akan menduduki peperiksaan tahun ini. Penulis ada sikit untuk kita berkongsi bersama iaitu amalan yang baik untuk ibubapa melakukan amalan ini ketika anak-anak sedang menjawab soalan di Dewan Peperiksaan. Ibu atau bapa yang berada di rumah boleh melakukan amalan ini supaya anak-anak kita dapat menjawab soalan dengan mudah dan tenang.

KETIKA ANAK-ANAK SEDANG MENJAWAB SOALAN DI DEWAN PEPERIKSAAN.
Ibu atau bapa di rumah pula lakukan amalan ini:-

1. Ambil Wudhuk.
2. Mengadap kiblat.
3. Baca Syahadah - 3x
4. Al- Fatihah - 1x
5. 3 Qul- 1x
6. Surah Insyirah - 1x
7. Selawat Atas Nabi - 10x
8. Baca Surah Yassin - 1x
9. Baca Surah Insyirah 100x.
10. Niat di dalam hati supaya Allah SWT permudahkan anak-anak kita menjawab soalan dengan mudah dan tenang.

Contoh:
Waktu peperiksaan bermula jam 0800 pagi. Ibu atau bapa di rumah boleh mula melakukan. Semuga anak-anak kita dapat menjawab soalan dengan baik serta beroleh kejayaan yang besar.

Sumber:
Amalan ini diberikan oleh seorang guru wanita yang sudah bersara 4 tahun yang lalu iaitu Cikgu Rohana dari Sekolah Menegah Hutan Melintang. Anak-anak beliau kesemuanya telah berjaya didalam akademik. Alhamdulillah kita dapat berkongsi.

Wasallam.

Dipetik daripada https://www.facebook.com/MataHatiAinulQalbi

Monday, August 22, 2011

AMALAN 10 MALAM TERAKHIR RAMADHAN...

Posted on the August 19th, 2011 / www.harian-metro-online.com



Antara amalan Nabi SAW apabila mendekati 10 malam terakhir Ramadan adalah:
  1. Melakukan qiamullail;
  2. Menggerakkan keluarga untuk solat malam pada malam itu;
  3. Tidak mendatangi isteri (daripada melakukan jimak);
  4. Mandi antara Maghrib dan Isyak;
  5. Iktikaf dalam masjid.
Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak sentiasa melakukan ibadat pada 10 yang terakhir Ramadan dengan cara yang tidak pernah dilakukan pada waktu selainnya (Riwayat Muslim).

Dalam hadis ini nabi memberikan penumpuan khusus kepada malam terakhir Ramadan untuk merebut peluang mendapat lailatul qadar yang disifatkan Allah dalam ayat ke-3 surah al-Qadar sebagai:
“Lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan.”

Demikian pula dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, maksudnya:
“Sesiapa mengerjakan ibadah pada lailatulqadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya, diampunkan dosanya yang lalu”.

Diriwayatkan al-Tabarani daripada Ali bahawa Nabi SAW mengejutkan keluarganya pada 10 hari terakhir di kalangan yang kecil dan besar dan yang dewasa yang mampu melakukan solat.

Dalam sesetengah riwayat apa yang sangat dituntut ke atas Muslim ialah menggerakkan keluarga pada malam ganjil seperti 21, 23, 25, 27 dan 29 kerana mengharapkan lailatulqadar. Pada malam pilihan seperti ini, Nabi SAW menurut riwayat Anas dan Aisyah, menjauhi hubungan suami isteri untuk berada di masjid bertujuan melakukan iktikaf sama ada mendirikan solat sunat, beristighfar dan sebagainya.

Persiapan Nabi SAW untuk menghadapi iktikaf juga harus kita contohi. Ibn Abi Ashim meriwayatkan daripada Abu Huzaifah Nabi SAW pernah mandi sebelum beriktikaf dengan dilindungi Abu Huzaifah. Kemudian Abu Huzaifah mandi dan Baginda menjadi dindingnya. Inilah sebabnya sahabat gemar mandi setiap malam antara Maghrib dan Isyak sebelum ke masjid untuk iktikaf.

Ulama Islam berbeza pandangan mengenai pelaksanaan qiamullail antara menghidupkan keseluruhan malam ataupun sebahagiannya saja. Abu Jakfar Muhammad Ali mengatakan Rasulullah menghidupkan sebahagian daripada malam, bukan sepanjang malam. Demikian juga Imam al-Syafi’iy dan amal ahli Madinah menyokong pendapat itu.

Ini berpandukan hadis riwayat Aisyah Nabi tidak pernah solat malam hingga ke Subuh tanpa berehat. Sesetengah ulama meringankan persoalan qiam sehingga mengatakan seseorang dianggap melakukan qiamullail disebabkan kesungguhannya bersolat jemaah Isyak dan Subuh. Ini berdasarkan riwayat dalam al-Muwatthak daripada Ibn Musayyib yang berkata, maksudnya:
“Sesiapa yang menghadiri solat Isyak dengan berjemaah, sesungguhnya dia memperoleh bahagiannya daripada malam itu.”

Dalam riwayat daripada Imam al-Syafi’iy menyatakan:
“Sesiapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah, dia mengambil bahagiannya daripada bulan itu.”

Ibn Abi Dunya daripada Abu Jakfar Muhammad Ali meriwayatkan Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang datang kepadanya Ramadan, lalu dia berpuasa siangnya, solat Tarawih pada malamnya, menahan matanya daripada melihat perkara haram, menjaga kemaluannya, lidah dan tangannya dan sentiasa berusaha untuk solat berjemaah dan Jumaat, maka dia sudah memperoleh lailatulqadar dan pahala Allah SWT yang tidak ternilai harganya.”

Ringkasnya sekurang-kurang usaha membangunkan malam ataupun qiamullail untuk mendapat kelebihan lailatulqadar ialah melakukan solat Isyak dan subuh berjemaah bagi lelaki.
Bagi wanita khasnya yang uzur kerana haid dan nifas, masih mampu memperoleh lailatulqadar dengan melakukan ketaatan seperti beristighfar, berzikir, berselawat, mempertingkatkan sedekah dan mengamalkan doa yang dianjurkan Nabi kepada Aisyah iaitu: “Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha pengampun, Engkau gemar memberikan keampunan, maka ampunkan aku.”

Dalam tafsir Hasyiah al-Sawiy ‘alal Jalalain, al-Sawi berkata, doa paling penting yang dituntut ke atas kita mengamalkannya adalah memohon keampunan dan keafiatan seperti disarankan Nabi SAW.

Dalam zikir, kita mengucapkan:
“Tiada Tuhan melainkan Allah yang sangat besar kemurahan-Nya, lagi sangat pemurah. Maha suci Allah SWT, yang memiliki tujuh petala langit dan Tuhan yang memiliki Arasy yang maha agung (tiga kali), maka sesungguhnya dia sudah mendapatkan lailatul qadar.”

Selain itu, sebagai tambahan bagi lelaki dan perempuan yang inginkan lailatulqadar terdapat amaran tegas daripada Nabi SAW seperti riwayat Ibn Abbas bermaksud:
“Sesungguhnya Allah akan memerhatikan orang beriman daripada kalangan umat Nabi Muhammad, lalu dimaafkan bagi mereka dan dirahmati melainkan empat golongan iaitu peminum arak, penderhaka ibu bapa, orang selalu bertengkar dan orang memutuskan silaturahim.”

DOA RAMADHAN ~ HARI KE 22 - 30

Hari Ke-22
"Ya Allah, bukakan bagiku pintu kelebihan dan turunkan bagiku keberkatan Mu. Berilah kepadaku untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan keredaan Mu dan tempatkan aku dalam syurga Mu yang luas, wahai penjawab doa orang dalam kesempitan."

Hari Ke-23
"Ya Allah bersihkan aku daripada segala dosa dan jauhkan diriku daripada keaiban serta tanamkan ketakwaan dalam hatiku, wahai pengampun kesalahan orang yang berdosa."

Hari Ke-24
"Ya Allah, aku bermohon kepada Mu perkara yang mendatangkan keredaan Mu. Aku berlindung dengan Mu daripada perkara yang mendatangkan kemarahan Mu dan aku bermohon kepada Mu kemampuan untuk mentaati Mu serta menghindari kemaksiatan terhadap Mu, wahai pemberi kepada yang meminta."

Hari Ke-25
"Ya Allah, jadikan aku orang yang menyintai auliya' Mu dan memusuhi musuh Mu. Jadikan aku pengikut sunnah nabi Mu, wahai penjaga hati para Nabi."

Hari Ke-26
"Ya Allah, jadikan usahaku sebagai usaha yang sentiasa disyukuri, dosa-dosaku sebagai dosa yang diampuni, kebaikanku sebagai kebaikan yang diterima dan keaibanku sebagai keaiban yang ditutupi, wahai Tuhan Maha Mendengar daripada semua pendengar."

Hari Ke-27
"Ya Allah, berilah rezeki berbentuk ganjaran Lailatul Qadar kepadaku, ubahkan perkara sulit menjadi mudah, makbulkan permintaan maafku dan hapuskan dosa serta kesalahanku, wahai Tuhan Maha Penyayang kepada hamba soleh."

Hari Ke-28
"Ya Allah, penuhkan hidupku dengan amalan sunnah dan muliakan aku dengan diterimanya semua permintaan, wahai Tuhan yang tidak disibukkan oleh permintaan orang meminta."

Hari Ke-29
"Ya Allah, hiasilah aku dengan rahmat Mu dan berikanlah aku petunjuk serta penjagaan Mu. Bersihkan hatiku dengan fitnah, wahai pengasih kepada hamba yang beriman."

Hari Ke-30
"Ya Allah, jadikan puasaku disertai dengan rasa syukur dan diterima oleh Mu melalui jalan keredaan Mu serta keredaan Rasul Mu, cabangnya yang kukuh dan kekuatan keberkatan, demi kenabian Muhamad SAW dan keluarga baginda yang suci dan segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam."

Thursday, August 18, 2011

SEJARAH NUZUL AL-QURAN...

Posted on the August 17, 2011 / www.harian-metro-online.com


Bulan Ramadhan bulan penuh berkat dan pengampunan dosa bagi umat manusia yang menunaikan segala kewajipan serta diperlengkapkan pula dengan amalan sunat dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Tiada pernah rasa cukup dengan amalan soleh yang telah dilakukan dan tidak pernah senang dengan kesilapan yang dibuat. Sentiasa mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah dalam mencari kebahagiaan hakiki. Tidak pernah tamak pada dunia tetapi tidak pula lupa melaksanakan tanggungjawab sebagai bekalan untuk ke akhirat. Setiap pekerjaan dunianya ditunaikan kerana Allah serta ia dilakukan dibawah garisan yang telah ditetapkan oleh Islam.Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai golongan yang hanya solat tetapi tidak mendapat apa-apa melainkan keletihan, golongan yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga, golongan yang banyak membaca al-Quran tetapi al-Quran melaknatnya.

Dalam meneruskan sisa-sisa Ramadhan yang masih ada ini marilah kita menyoroti suatu peristiwa penting yang telah menjadi pemangkin kepada dakwah Rasulullah s.a.w iaitu Nuzul al-Quran iaitu bermulanya penurunan al-Quran sebagai wahyu kepada kita umat akhir zaman di mana mukjizatnya terus kekal sehingga hari qiamat.Al-Quran merupakan sumber rujukan pertama kepada seluruh umat nabi Muhammad s.a.w dalam menerusi liku-liku kehidupan di dunia fana ini di mana isinya mengandungi pelbagai aspek kehidupan.
KEBANGKITAN SEBAGAI NABI AKHIR ZAMAN

Kehidupan Rasulullah s.a.w dalam masyarakat sekeliling yang dibelenggu kegelapan jahiliyah, penyembahan berhala dan adat-adat yang sesat. Masyarakat arab sudah lama terpisah dengan zaman kenabian menyebabkan mereka terus hanyut dalam gelora lautan kesesatan yang mengganas. Namun begitu keadaan nabi tetap dijaga dan dikawal oleh Allah agar tidak turut sama terheret dengan amalan hidup yang sesat ini. Keadaan yang semakin hari semakin terhimpit dengan tekanan jahiliyah dan kesesatan ini telah menyebabkan nabi mengambil tindakan untuk bermunajat kepada Allah dengan berkhalwat di Gua Hira’. Baginda bersendirian dengan bekalan makanan selama beberapa malam berturut-turut. Pada 17 Ramadhan dalam usia nabi mencapai 40 tahun bersamaan 6 Ogos 610M maka pada saat inilah turunnya wahyu pertama yang juga sebagai pengiktirafan sebagai nabi akhir zaman.Nabi didatangi oleh malaikat Jibril lalu malaikat berkata : “Bacalah”, baginda menjawab : "Saya tidak tahu baca”.

Maksud kisah yang diberitahu sendiri oleh Rasullah s.a.w ketika turunnya wahyu ini dalam suatu hadis yang mafhumnya :”…. lalu malaikat itu memeluk saya dengan kuat sehingga saya tidak mampu bergerak. Kemudian dilepaskannya saya sambil katanya :”Bacalah” lalu saya menjawab :”Saya tidak tahu membaca”. Sekali lagi saya dipeluk sehingga mencemaskan saya, kemudian dilepaskan dan katanya lagi :”Bacalah”, saya tetap menjawab :”Saya tidak tahu membaca”. Kali ketiga dia memeluk saya tetapi dilepaskan lalu membaca ayat 1-5 surah al-’Alaq yang bermaksud:
Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah Mencipta. Dia mencipta manuia daripada segumpal darah. bacalah kerana Tuhanmu itu Amat Mulia yang mengajar dengan perantaraan qalam. Dia telah mengajar manusia apa yang manusia tidak tahu.

Keadaan nabi yang ummi atau buta huruf bukanlah menunjukkan kelemahan nabi tetapi sebaliknya untuk menangkis tuduhan liar yang mengatakan bahawa nabi sendiri yang menulis wahyu dengan ilmunya yang ada hasil daripada pengajiannya dengan cendikiawan dan pendeta yahudi atau Kristian.Wahyu yang pertama ini memberi peringatan kepada umat Islam tentang pentingnya ilmu pengetahuan yang akan menunjukkan secara jelas antara yang benar dan salah. Cara penerimaan wahyu ini menunjukkan bagaimana jalan terbaik dalam menuntut dan menerima ilmu iaitu mesti melalui guru dan juga berhadap serta berjumpa antara murid dan gurunya.

PERANAN SITI KHADIJAH

Setelah melalui peristiwa yang tidak pernah terfikir dan diketahui olehnya memandangkan umat arab telah begitu lama terpisah dengan kenabian maka nabi terus pulang dalam keadaan terketar-ketar kerana ketakutan. Setelah tiba di rumah lalu baginda meminta agar diselimutkannya. Siti Khadijah sebagai seorang isteri yang cinta dan taat kepada suaminya terus menyelimutkan baginda tanpa banyak bertanya. Setelah keadaan nabi tenang barulah disoal mengenai peristiwa yang telah berlaku yang menyebabkan nabi ketakutan. Siti Khadijah sememangnya seorang wanita yang cerdik dan pernah mendengar tentang kenabian, para nabi dan malaikat melalui sepupunya Waraqah bin Naufal yang menganut agama Nasrani. Disamping itu dia juga mengenali nabi sebagai seorang yang baik dan elok akhlaknya serta disayangi oleh orang ramai. Oleh itu dia terlalu yakin bahawa nabi bukan terkena godaan syaitan atau jin sebaliknya merupakan makhluk pilihan Allah. Dengan suara yang lembut dan penuh hikmat lalu dia memberi semangat kepada nabi dengan katanya : “Demi Allah! Dia tidak akan mengecewakanmu, engkau adalah orang yang sentiasa menghubungkan tali persaudaraan, membantu orang susah, memenuhi keperluan orang lain, melayan tetamu dan menyampaikan amanah kepada yag berhak”.

Kata-kata ini memberi semangat baru kepada nabi di mana kita dapat lihat betapa pentingnya peranan isteri dalam menjayakan dakwah suaminya. Nabi berkahwin dengan Siti Khadijah ketika baginda berusia 25 tahun sedangkan Siti Khadihah merupakan seorang yang telah menjangkau usia 40 tahun namun keadaannya dengan izin Allah bagaikan anak dara berusia 17 tahun. Usia bukan matlamat perkahwinan ini tetapi sifat keibuan dan kematangan yang ada pada Siti Khadijah merupakan aset penting kepada diri Rasulullah s.a.w. Ketenangan Siti Khadijah dalam menghadapi situasi yang mencemaskan ini banyak membantu nabi s.a.w. untuk mengawal situasi yang dihadapi.

BERTEMU WARAQAH BIN NAUFAL

Siti Khadijah membawa nabi untuk bertemu dengan sepupunya Waraqah bin Naufal bagi mengetahui secara lebih lanjut berkenaan dengan apa yang telah berlaku ke atas nabi itu. Setelah mendengar penjelasan daripada nabi tentang apa yang telah berlaku kepada Waraqah lalu beliau mengatakan : ”Demi Allah yang jiwaku ini ditanganNya! Sesungguhnya engkau ini adalah nabi untuk umat ini, engkau telah didatangi Namus agung(malaikat Jibril) yang pernah mendatangi Musa dan engkau kelak akan dikatakan berbohong, engkau akan mereka sakiti, akan mereka usir dan mereka perangi”.

Ucapan Waraqah yang mengatakan :”Engkau kelak akan mereka usir” itu sungguh memeranjatkan Rasulullah s.a.w, kerana pada pengetahuan baginda bahawa dirinya mendapat penghargaan di sisi kaum Quraisy sehingga mendapat gelaran ” As-Siddiq” dan “Al-Amin”, lalu kata baginda dengan kehairanan : “Apakah mungkin mereka akan mengusir saya?”.

Waraqah dengan tegas menjawab :”Ya! Semua yang membawa tugas seperti yang engkau bawa ini tetap dimusuhi dan diperangi oleh manusia, andainya aku masih hidup pada waktu itu, akan aku bantu engkau seboleh-bolehnya”. Namun begitu setelah bermulanya dakwah Rasulullah s.a.w, Waraqah terlebih dahulu pergi menemui Allah di alam baqa.


Rujukan
1. Sirah an-Nabawiyah 1,Syeikh Hassan Ali Nadawi al-Husaini,Pustaka Reka,1997

Monday, August 15, 2011

DOA RAMADHAN ~ HARI KE 15 - 21

Hari Ke-15
"Ya Allah limpahkan rezeki kepada ku berupa ketaatan orang yang khusyuk. Lapangkan dada ku dengan taubat orang yang menyesal, dengan keamanan Mu wahai keamanan orang yang takut."

Hari Ke-16
"Ya Allah, berilah kemampuan kepada ku untuk menjalani kehidupan seperti mana kehidupan orang baik. Jauhkan bagi ku kehidupan orang yang melakukan kejahatan. Lindungilah aku dengan rahmat Mu hingga ke alam akhirat, demi ketuhanan Mu wahai Tuhan sekalian alam."

Hari Ke-17
"Ya Allah, tunjukkan bagi ku amal kebajikan dan penuhilah hajat serta cita-cita ku, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui segala keperluan tanpa ungkapan permohonan. Wahai yang Maha Mengetahui segala yang ada dalam hati sekalian makhluk. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarga baginda yang suci."

Hari Ke-18
"Ya Allah, sedarkan aku untuk mencari keberkatan. Terangkan hati ku secerah cahaya dan bimbinglah aku serta anggota ku untuk mengikuti segala ajaran Mu, dengan cahaya Mu wahai penerang hati orang yang bijak."

Hari Ke-19
"Ya Allah, penuhkan bahagian ku dengan keberkatan dan mudahkan bagi ku menuju ke arah kebaikan. Jangan kau jauhkan aku daripada ketenteraman kebaikan, wahai pemberi petunjuk kepada kebenaran."

Hari Ke-20
"Ya Allah, bukakan bagi ku pintu-pintu syurga dan tutupkan bagiku pintu-pintu neraka. Berilah kemampuan kepada ku untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran, wahai pemberi ketenangan dalam hati orang beriman."

Hari Ke-21
"Ya Allah, berilah aku petunjuk untuk mendapat keredaan Mu. Janganlah engkau biarkan syaitan menguasai diriku. Jadikan syurga tempat tinggal dan berehat bagiku, wahai pelaksana keperluan orang meminta."

Monday, August 8, 2011

DOA RAMADHAN ~ HARI KE 8 - 14

Hari Ke-8
"Ya Allah, berilah aku rezeki berupa kasih sayang kepada anak-anak yatim, pemberi makanan, penyebar salam dan bergaul dengan mulia, dengan kemuliaan Mu tempat berlindung orang yang berharap."

Hari Ke-9
"Ya Allah, sediakan bagi ku sebahagian daripada keluasan rahmat Mu. Berilah aku petunjuk dengan ajaran-ajaran Mu. Bimbinglah aku menuju keredaan Mu yang penuh dengan kecintaan Mu, wahai harapan orang yang merindu."

Hari Ke-10
"Ya Allah, jadikan aku di antara orang bertawakal kepada Mu dan jadikan aku di kalangan orang yang menang di sisi Mu. Ya Allah, jadikan aku di kalangan orang yang dekat di sisi Mu. Dengan ihsan Mu wahai tempat tuju orang yang memohon."

Hari Ke-11
"Ya Allah, tanamkan dalam diri ku kecintaan melakukan kebaikan dan kebencian melakukan perbuatan maksiat serta fasik. Ya Allah jauhkan ku daripada kemurkaan Mu dan seksaan api neraka, dengan pertolongan Mu wahai Tuhan yang menolong orang memerlukan pertolongan."

Hari Ke-12
"Ya Allah, hiasilah diri ku dengan penutup dan kesucian. Tutuplah diri ku dengan pakaian kesederhanaan dan kerelaan. Tempatkan aku di jalan keadilan dan keikhlasan. Amankan diri ku daripada setiap perkara yang aku takut, dengan penjagaan Mu, wahai penjaga orang yang takut."

Hari Ke-13
"Ya Allah, bersihkan diri ku daripada kekotoran dan kehinaan. Berilah kesabaran kepada ku untuk menerima segala ketentuan. Berilah kemampuan kepada ku untuk bertakwa dan bergaul dengan orang baik, dengan bantuan Mu wahai pengharap orang yang miskin."

Hari Ke-14
"Ya Allah, jangan aku dihukum disebabkan kekeliruan yang ku lakukan. Ampunkan aku daripada kesalahan dan kebodohan. Janganlah kau jadikan diri ku sasaran bala dan malapetaka, dengan kemuliaan Mu wahai kemuliaan kaum Muslimin."

Monday, August 1, 2011

DOA RAMADHAN ~ HARI PERTAMA - KETUJUH...

 Hari Pertama
"Ya Allah, jadikanlah puasaku, puasa orang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku, ibadah orang benar-benar mengerjakan ibadah. Dan jagalah aku dari tidurnya orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku wahai Tuhan sekalian alam. Dan ampunilah aku wahai Tuhan Maha Pengampun daripada segala dosa."


Hari Ke-2 
"Ya Allah, dekatkan aku kepada keredhaan Mu dan jauhkan aku daripada kemurkaan serta balasan Mu. Berilah aku kemampuan membaca ayat-ayat Mu dengan rahmat Mu wahai Tuhan Maha Pengasih."

Hari Ketiga 
"Ya Allah limpahkan aku dengan kecerdikan fikiran dan kewaspadaan serta jauhkan aku daripada kebodohan dan kesesatan. Sediakan bahagian ku daripada kebaikan yang Engkau turunkan, demi kemurahan Mu, wahai Tuhan Maha Pemurah daripada segala dermawan."


Hari Ke-4 
"Ya Allah berilah kekuatan kepada ku untuk melaksanakan perintah-Mu dan berilah aku kemanisan berzikir. Berilah aku kekuatan melahirkan kesyukuran denga kemuliaan-Mu. Dan jagalah aku dengan jagaan dan perlindungan-Mu, wahai Tuhan Maha Melihat."


Hari Ke-5 
"Ya Allah, tempatkan aku di kalangan orang yang sentiasa memohon keampunan. Jadikanlah aku hamba-Mu yang soleh serta jadikanlah aku di kalangan auliya' (orang yang mendapat keutamaan-Mu) yang hampir di sisi-Mu dengan kelembutan-Mu, wahai Tuhan yang Maha Pengasih daripada segala pengasih."


Hari Ke-6 
"Ya Allah, janganlah aku dihina kerana perbuatan maksiat ku kepada Mu dan janganlah menyeksa ku dengan balasan Mu. Jauhkan aku daripada sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Mu, dengan anugerah dan bantuan Mu, wahai kemuncak keinginan orang yang berkeinginan."


Hari Ke-7 
"Ya Allah, bantulah aku untuk mengerjakan puasa dan ibadah malamnya. Jauhkanlah aku daripada dosa-dosanya. Dan berilah aku zikir untuk mengingati Mu secara berterusan, dengan taufik (petunjuk) Mu, wahai pemberi petunjuk kepada orang yang sesat."